Written by Media Kimaragang on Tuesday, 28 June 2011 19:37 |
28 JUN 2011, KOTA KINABALU | Dalam usaha untuk memperjelaskan kepada bangsa Kimaragang akan matlamat perjuangan 2 organisasi tunjang pemartabatan bangsa ini, Media Kimaragang (MK) tidak putus harapan untuk terus berusaha mencari ruang mempertemukan kepimpinan utama dalam Pertubuhan Kimaragang Malaysia (PKM) dan Persatuan Kimaragang Sabah Bersatu (PKSB). Jam 8.00 malam, MK menghubungi Presiden PKSB, Tuan Baintin A. Halim Adun untuk perjumpaan. Kebetulan Baintin dalam perjalanan ke Kota Kinabalu dan lebih kurang jam 9.30 malam MK dapat bersembang dengan beliau secara ringkas dan santai di salah sebuah restoran di Putrajaya. MK mengambil kesempatan ini mengajak Baintin untuk mengadakan satu forum khas bersama Presiden PKM, Tuan Haji Janathan Kandok bagi membincangkan berkaitan halatuju perjuangan organisasi masing-masing dan seterusnya melenyapkan tanggapan ketidaksefahaman antara keduanya. Jam 10.00 malam, MK menghubungi Janathan untuk tujuan sama. Keadaan yang sangat luar biasa apabila keduanya bersetuju walaupun pada waktu yang boleh dikatakan tidak sesuai bagi tujuan seperti itu. MK sangat teruja dengan komitmen Baintin dan Janathan dan spontan menyediakan keperluan forum seperti kamera video, kamera statik, mengatur susun untuk berforum dan akhirnya tepat jam 11.00 malam forum dapat dimulakan yang mana ahli panelnya ialah Presiden PKM dan Presiden PKSB sendiri. Pengantara forum ialah Media Kimaragang. Selain itu, MK juga sangat menghargai kehadiran Encik Hassnal Hj. Umar yang berperanan sebagai pemerhati bagi mewakili warga Kimaragang secara keseluruhannya untuk membuat penilaian ulasan dari ahli panel. Dalam forum tersebut, MK banyak memberikan soalan berkaitan asas perjuangan oraganisasi, penjelasan kekeliruan sesetengah pihak akar umbi serta harapan mereka sebagai pemimpin organisasi yang melabelkan Kimaragang sebagai nama. Baintin dalam ulasannya agak kecewa senario tanggapan negatif sesetengah pihak mengenai kewujudan 2 organisasi ini. Beliau mengatakan bahawa perkara ini mungkin disebabkan kurang kefahaman mengenai perjuangan PKSB dan berjanji akan berusaha memperjelaskannya sehingga ke akar umbi. Janathan juga sependapat dengan Baintin dalam hal ini dan akan berusaha untuk memberikan kefahaman secara menyeluruh berkaitan perjuangan PKM. "Pada masa ini saya sudah mula memberitahu ahli-ahli PKSB melalui ucapan saya dalam mesyuarat dan program yang dianjurkan berkaitan PKM adalah pelengkap kepada perjuangan kami. PKM jelas mampu menjana idea yang boleh memacu Kimaragang ke depan sebab ahli majlisnya terdiri dari golongan berpendidikan tinggi dan kami (PKSB) akan memperjuangkan hak Kimaragang atas kapasiti kami kerana perlembagaan PKSB membolehkan kami bersuara berkaitan ini.", jelas Baintin. Ditanya berkaitan objektif pertubuhan, Janathan mengulas bahawa PKM akan memberikan tumpuan dasar Kimaragang untuk menjadikannya bersatu padu, maju dan menarik. Kedua-dua presiden ini mempunyai harapan yang sama agar Kimaragang akan menjadi bangsa yang berkredibiliti, mampu dalam segala aspek, berpendirian dan dikenali sebagai satu nama iaitu BANGSA KIMARAGANG. Forum ini berakhir lebih kurang jam 1.00 pagi. Media Kimaragang akan memaparkan rakaman video ini melalui saluran media di internet. Media Kimaragang mengucapkan jutaan terima kasih kepada kedua-dua presiden yang berusaha dalam mengemudi pemartabatan bangsa Kimaragang. |
Sumber : |
0 comments on "Forum Kimaragang Luar Biasa"
Post a Comment